Friday, July 6, 2012

AFC perlu lebih telus

NASIB skuad Harimau Muda untuk layak ke pusingan akhir Piala AFC B-22 bergantung kepada keputusan AFC sama ada menerima bantahan berhubung tindakan Myanmar menggunakan pemain melebihi had umur pada pusingan kelayakan Piala AFC baru-baru ini.



JIKA Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersikap telus, pihak yang melakukan kesalahan sudah pasti tidak terlepas daripada hukuman.

Jika berlaku permainan politik, yang bersalah akan terlepas tanpa sebarang tindakan.

Mungkin itu ungkapan lebih sesuai buat AFC agar bersikap lebih telus dalam mengendalikan sesuatu aduan atau protes.

Isu terbaharu melibatkan aduan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mendakwa pasukan Myanmar telah melanggar peraturan dengan menurunkan pemain melebihi had umur pada pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun yang dihoskan oleh mereka minggu lepas.

Semalam, AFC telah mengesahkan bahawa mereka telah menerima aduan rasmi yang pertama daripada FAM berhubung kontroversi skuad bawah 22 tahun Myanmar yang menggunakan pemain melebihi usia.

Sumber dalaman AFC mendedahkan, mereka akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama Jawatankuasa Disiplin AFC bagi meneliti segala dakwaan sebelum mengambil sebarang keputusan.

“Kami telah menerima aduan rasmi daripada pihak FAM pada 3 Julai lalu.

“Buat masa ini, kami akan mengadakan satu mesyuarat bersama jawatankuasa disiplin berhubung dakwaan penipuan umur di dalam pasukan bawah 22 tahun Myanmar pada aksi Piala AFC (bawah 22 tahun) baru-baru ini.

“AFC tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi tetapi kami akan mengkaji segala data-data dan maklumat berhubung pemain yang dikaitkan melebihi usia yang ditetapkan pada kejohanan tersebut sebelum memutuskan sebarang tindakan.

“Kami akan menunggu keputusan daripada lembaga disiplin AFC berhubung hal ini,” kata sumber itu kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan bahawa FAM telah menghantar aduan rasmi pertama.

Terdahulu, impian skuad negara untuk mara secara automatik ke pusingan akhir Piala AFC bawah 22 tahun lebur apabila tewas 1-2 kepada Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan G.

Tinjauan Kosmo! dalam laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) iaitu www.fifa.com dan kelab Yangong United (www.ygnutd.com) mendapati Myanmar membariskan empat pemain melebihi usia 22 tahun pada kempen kelayakan tersebut.

Penjaring dua gol Myanmar ketika menentang Harimau Muda iaitu Kaung Si Thu berusia 25 tahun.

Kosmo

No comments:

Post a Comment