Thursday, June 28, 2012

Aziz Sattar Stabil, Enggan Jumpa Media



Hujung minggu lalu, seniman negara, Datuk Aziz Sattar dilaporkan telah ditahan di wad Hospital Ampang kerana mengalami sakit jantung.

Bagaimanapun, kondisi kesihatan pelakon berusia 86 tahun ini dimaklumkan sudah pun stabil tetapi masih lagi dirawat di wad CCU hospital berkenaan.

Pun begitu, pihak media telah dilarang keluarga pelakon ini untuk membuat liputan dan rakaman mengenai kesihatannya untuk sementara waktu kerana dikhuatiri menggangu kesihatan pelakon Seniman Bujang Lapok.

Dalam pada itu, Bendahari & Setiausaha Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) iaitu Mior Ahmad Zaudi telah tampil ke depan untuk menjelaskan situasi yang berlaku ke atas pelakon berkaliber ini memandangkan dia adalah individu yang akrab dengan Aziz Sattar.

“Semuanya bermula pada hari Ahad yang lalu selepas PKAVM mengadakan program Senam Seni di sebuah lokasi di Ampang yang turut disertai Datuk Aziz Sattar yang berjawatan sebagai Timbalan Presiden PKAVM.

“Kira-kira jam dua petang selepas program tersebut tamat, saya telah menerima panggilan telefon daripada beliau.

“Dia meminta bantuan saya untuk menghantarnya ke hospital selepas mengadu sakit dada. Setelah membawanya ke hospital dan menguruskan segala apa yang perlu termasuklah menghubungi anak-anaknya, Datuk Aziz ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut,” jelasnya.

Dalam pada itu, sebaik saja semua waris Aziz Sattar tiba, barulah Mior menyerahkan segala urusan kepada keluarganya dan pulang.

“Sebelum pulang, Datuk Aziz sudah berpesan agar tidak menghubungi mana-mana media buat sementara waktu kerana dia mahu berehat sepenuhnya.

“Sehingga saat ini saya difahamkan keadaannya semakin stabil dan saya akan melawatnya sebentar lagi,” ujarnya tengah hari tadi.

Sementara itu, berlaku sedikit kekecohan akibat kekeliruan kebenaran untuk membuat liputan tentang Seniman dan Pemuda UMNO yang mahu memberikan sumbangan kepada pelakon ini.

Kekeliruan berlaku apabila pihak media mahu membuat liputan mengenai pemberian sumbangan dari pihak Seniman yang disampaikan Presiden Seniman, Zed Zaidi, sedangkan Datuk Aziz telah memberitahu ingin ruang untuk berehat dan tampil berjumpa media apabila sudah pulih sepenuhnya. Kami mendoakan agar kesihatan Datuk Aziz Sattar bertambah baik dan beransur pulih.


2dayblogger

1 comment:

  1. Semoga beliau cepat sehat kembali...
    Terima kasih sudah berkunjung :)

    www.1sthappyfamily.com

    ReplyDelete