OKI SETIANA DEWI manis mengenakan tudung labuh dan sepasang busana berwarna merah jingga ketika melangkah ke ruang legar restoran Spice Garden, Chulan Square, Kuala Lumpur pada tengah hari Isnin lalu.
Lebih mesra disapa Oki, pelakon filem Ketika Cinta Bertasbih itu memberitahu, dia menjahit sendiri busana yang digayakannya tersebut.
“Baju ini saya jahit sendiri, asalkan selesa dipakai dan orang sekeliling pun senang memandang, saya rasa tidak menjadi hal,” ungkap Oki dalam senyuman.
Filem itu berjaya menobatkan namanya sebagai Pendatang Baru Wanita Terbaik dan Pendatang Baru Wanita Popular menerusi Indonesia Movie Award 2010.
“Saya banyak belajar menerusi skrip dan lakonan dalam filem itu. Malah, saya merasakan filem itu umpama kursus perkahwinan pendek yang telah mendidik saya tentang ilmu rumah tangga,” katanya mengenai filem yang dibintanginya ketika berusia 19 tahun itu.
Filem yang berjaya mencatat sambutan penonton lebih tiga juta orang pada tahun 2009 itu dibikin sekuel berjudul Ketika Cinta Bertasbih 2.
Filem sekuel itu bagaimanapun hanya meraih separuh bilangan penonton filem pertamanya.
Pada tahun 2010, karya adaptasi novel terlaris tulisan Habiburrahman itu kemudian dijadikan sinetron tiga siri masing-masing dengan judul Ketika Cinta Bertasbih Special Ramadhan, Meraih Ridho Ilahi dan Dari Sujud ke Sujud.
“Ketika meneliti watak Anna, saya bermohon kepada Allah supaya jadikan saya Anna di dunia nyata.
“Namun akhirnya saya berasa lucu apabila kehidupan watak lakonan dalam sinetron tidak jauh beza dengan dunia realiti. Contohnya, watak Anna yang suka memberikan ceramah agama sama seperti diri sebenar saya yang juga gemar berkongsi ilmu.
“Banyak juga adegan ceramah agama dan membaca al-Quran dalam filem itu yang berjaya diaplikasikan dalam kehidupan sebenar saya,” ujarnya.
Tambahnya, impak filem dan sinetron lakonannya itu juga telah membawa khalayak mengenali dirinya sebagai Anna.
Jika dahulu ada peminat yang memanggil nama Anna, Oki cuba melarikan diri daripada mereka sebab berasa terlalu janggal, namun sekarang ini kalau orang memanggil dia dengan nama itu, dia tidak akan teragak-agak untuk menoleh kepada individu yang menyebut nama tersebut.
Begitu juga jika ada yang memanggilnya dengan nama sebenar dirinya iaitu Oki.
Buku
Oki sebelum ini pernah menolak tawaran berlakon untuk karakter seorang penceramah kerana kekangan waktu yang bertembung dengan pengajiannya di Mekah selama sebulan pada Februari lalu.
“Ketika itu saya terpaksa menolak tawaran berlakon kerana saya perlu ke Mekah untuk menuntut ilmu bahasa Arab dan pengajian al-Quran di Universiti Umm al-Qura.
“Namun, semua pengalaman saya semasa berada di Mekah saya bukukan dalam novel ketiga saya iaitu Cahaya di atas Cahaya yang akan dikeluarkan menjelang hujung tahun ini,” jelasnya.
Sebelum ini Oki sudah menulis dua buah novel yang menceritakan perjalanan hidupnya sebelum menjadi pelakon hingga sekarang.
Novel pertamanya berjudul Melukis Pelangi: Catatan Hati Oki Setiana Dewi yang menceritakan perjalanan menemui hidayah. Novel itu diulang cetak sebanyak lapan kali sejak setahun lalu.
Rentetan kejayaan novel sulungnya itu, muncul novel keduanya yang berjudul, Sejuta Pelangi: Pernik Cinta Oki Setiana Dewi. Ia mengisahkan tentang individu memberikan inspirasi dalam hidupnya.
OKI bersama dua buah novel hasil tulisannya.
“Novel itu menceritakan perjalanan saya bertemu dengan insan-insan yang banyak memberikan inspirasi kepada saya seperti kanak-kanak penghidap kanser dan mengajar banduan mengaji di penjara,” ulas Oki mengenai novel itu yang sudah tiga bulan berada di pasaran.
Kelantan
Melancarkan novel keduanya pada bulan Mac lalu di Kelantan menimbulkan banyak tanda tanya sesetengah pihak. Apa istimewanya negeri itu kepada Oki sedangkan acara itu boleh dilakukannya di Kuala Lumpur?
Jawab Oki: “Saya dijemput oleh kerajaan negeri Kelantan untuk melancarkan novel itu, bagi saya tidak salah untuk tujuan kebaikan. Tiada niat politik atau prasangka lain patut timbul.”
Novel tersebut akan turut dilancarkan pada 24 Jun ini di Pameran Buku Antarabangsa di Jakarta, Indonesia.
Dalam pada itu, Oki mendedahkan dia berhajat untuk menamatkan zaman mudanya secepat mungkin.
“Saya ingin berkahwin muda, kalau bukan tahun ini, tahun depan barangkali. Buat masa sekarang belum ada calon secara rasmi,” getusnya yang mendedahkan dia tidak pernah dilamar sehingga kini.
Dedahnya lagi, dia hanya akan menuruti nasihat kedua-dua orang tuanya berkenaan bab jodoh dan perkahwinan.
“Namun, saya mahukan pasangan berlandaskan syarak yang perlu dilihat berdasarkan keturunan, fizikal, harta dan agama.
“Dalam masa yang sama saya mahu seorang lelaki yang cerdas akal kerana dia akan menjadi guru kepada saya untuk membimbing saya dan anak-anak kelak,” katanya tentang ciri lelaki yang bakal menjadi suaminya pada satu hari nanti.
Kosmo
No comments:
Post a Comment